RAJA BERPERLEMBAGAAN

Konsep Raja Berperlembagaan
Pemerintahan beraja merupakan salah satu ciri yang unik dan penting di negara kita. Menurut Tun Mohamed Salleh Abas dalam bukunya “Prinsip Perlembagaan dan Pemerintahan Malaysia”, pemerintahan beraja merupakan salah satu daripada unsur-unsur tradisi dalam Perlembagaan Malaysia.
Sebelum zaman penjajahan British, Raja-Raja Melayu telah memiliki kuasa penuh atau mutlak.
Walaubagaimanapun, semasa zaman penjajahan British, keadaan telah berubah kerana kuasa mutlak Raja-Raja telah mula hilang secara beransur-ansur. Bermula daripada Sistem Residen yang menghendaki Raja-Raja Melayu menerima seorang penasihat British hinggalah penubuahn Malayan Union pada tahun 1946, dapat dilihat bahawa pihak British telah mengurangkan kuasa dan kedudukan Raja-Raja Melayu.
Setelah negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, sistem pemerintahan beraja telah dikekalkan. Walaubagaimanapun, ia telah disesuaikan dengan konsep demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara kita. Muncullah Konsep Raja Berperlembagaan yang bermakna, kuasa raja yang dibatasi oleh perlembagaan.
Kini, Raja-raja Melayu dikehendaki pula menerima nasihat menteri-menteri kerajaan dan bertindak menurut nasihat itu. Misalnya, Yang Dipertuan Agong sekarang dikehendaki bertindak atas nasihat Jemaah Menteri, manakala seorang Raja di sebuah negeri pula dikehendaki bertindak atas nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan atau Exco di peringkat kerajaan negeri.
Kedudukan Raja-raja
Raja berperanan sebagai Ketua Negeri di bawah Perlembagaan Negeri pada masa kini. Sistem Kerajaan di negara kita dibahagikan kepada 13 buah kerajaan negeri dan sebuah kerajaan pusat kerana Malaysia merupakan sebuah negara Persekutuan yang terdiri daripada 13 buah negeri. Setiap negeri mempunyai seorang Raja(Sultan) atau Yang Dipertua Negeri yang merupakan Ketua Negeri seperti mana yang disebutkan dalam perenggan 58 Suruhanjaya Reid:
“Yang di-Pertuan Besar akan menjadi ketua negeri, tetapi dia mesti menjadi seorang pemerintah yang berperlembagaan. Beliau mesti bertindak atas nasihat menteri dalam segala perkara berkaitan dengan kuasa eksekutif. Beliau akan menjadi symbol perpaduan negara.”
Malaysia terdiri daripada 9 buah negeri yang diperintah oleh Raja(Sultan) iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, dan Perak. 4 buah negeri diperintah oleh Yang Dipertua Negeri iaitu Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.
Pilihan Seorang Raja
Pilihan seorang Raja adalah ditentukan oleh perkembangan negeri masing-masing dan biasanya mengikut adat istiadat negeri itu. Manakala setiap Yang DiPertua Negeri pula dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas budi bicaranya, tetapi perlantikan itu hendakalah dibuat selepas berunding dengan Ketua Menteri negeri masing-masing. Yang diPertua Negeri menyandang jawatannya selama 4 tahun. Walaubagaimanapun, seorang Yang Dipertua Negeri itu boleh meletakkan jawatannya atau dilucutkan daripadanya jawatannya oleh Yang DiPertuan Agong mengikut usul Dewan Undangan Negeri, dan disokong oleh undi tidak kurang daripada dua pertiga jumlah ahli dewan itu.
Raja merupakan ketua agama islam bagi negeri masing-masing, tetapi bagi negeri Pulau Pinang dan Melaka, ketua agam Islamnya ialah Yang Dipertuan Agong dan ini diperuntukkan dalam Perkara 3(3) Perlembagaan Persekutuan
Yang Di-Pertuan Agong (YDPA)
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 telah mewujudkan jawatan Yang Di-Pertuan Agong berdasarkan kepada cadangan dalam Suruhanjaya Reid yang memasukkan peruntukan mengenai “Yang Dipertuan Besar di sisi perlembagaan bagi Persekutuan yang akan dipilih dari kalangan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja. “Yang Diper-tuan Agong dikatakan akan menjadi symbol perpaduan negara. Mengikut Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan, YDPA adalah Utama Negara bagi Persekutuan yang memperuntukkan bahawa baginda adalah Utama Negara bagi Persekutuan yang mempunyai keutamaan dan mengatasi segala orang dalam Persekutuan dan tidak boleh didakwa dalam perbicaraan mana-mana mahkamah sekalipun kecuali dalam Mahkamah Khas.

Yang Di-pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan Raja Perlembagaan, baginda mempunyai bidang kuasa yang luas seperti yang dikanunkan dalam Perlembagaan. Baginda juga mempunyai peranan dan fungsi dalam tiga cabang Kerajaan iaitu Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman.
Mengikut Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan, namun pada hakikatnya kuasa eksekutif ini dijalankan oleh Jemaah Menteri atau Menteri-menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri . Mengikut Perkara 43(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa YDPA hendaklah melantik sebuah Jemaah Menteri untuk menasihatkannya dalam hal menjalankan tugas-tugasnya dan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan YDPA dikehendaki mengikut nasihat Jemaah Menteri atau Menteri-menteri.
Pemilihan YDPA
Pemilihan YDPA akan dijalankan oleh Majlis Raja-Raja dari kalangan 9 Raja-Raja Melayu mengikut peraturan-peraturan dan kaedah-kaedah yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 32(4) Perlembagaan Persekutuan dalam pemilihan YDPA hendaklah mengikut peruntukan-peruntukan yang terdapat di bawah Bahagian 1, Jadual Ketiga iaitu Seksyen 2, 3 dan 4 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan YDPA hanya dipilih untuk menyandang jawatan ini bagi tempoh 5 tahun sahaja. Majlis Raja-Raja memainkan peranan yang penting dalam pemilihan YDPA kerana mengikut Perkara 32(4) Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja boleh bertindak mengikut budi bicara mereka dalam soal pemilihan YDPA. Mengikut Seksyen 7, Jadual kelima Perlembagaan Persekutuan, Yang DiPertua bagi negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak juga tidak boleh menjadi ahli Majlis Raja-Raja dalam soal pemilihan YDPA
 
< Prev   Next >