Fahmi Faiz

Fahmi bin Faiz, (nama pada karya-karya ialah Fahmi Faiz ) dilahirkan pada 3 Ogos 1985 merupakan penulis buku di Malaysia. Penulisan beliau mengkhusus kepada ekspedisi dan pengembaraan beliau ke kawasan-kawasan konflik di serata Asia Tenggara. Antara projek ekspedisi yang telah dilaksanakan termasuklah;
1. 2011: Ekspedisi solo ke serata negara di tanah besar Asia Tenggara berbekalkan cuma RM501.50 didalam saku.  Ekspedisi itu telah membawa beliau ke Thailand, Cambodia, Vietnam dan Laos.
2. 2013: Ekspedisi solo ke selatan Filipina di kepulauan Mindanao. Misi itu dikendalikan selepas termetrainya Rangka Perjanjian Damai Bangsamoro antara Kerajaan Filipina dan Moro Islamic Liberation Front (MILF). Ekspedisi itu telah membawa beliau bertemu wakil militari dari International Monitoring Team Cotabato (IMT), Moro Islamic Liberation Front (MILF) serta Moro National Liberation Front (MNLF).  Sepanjang pengembaraan solo ke kawasan itu, Fahmi bin Faiz terpaksa mendepani beberapa episod getir; termasuk ditahan oleh askar ketika menaiki bas seorang diri dari Cotabato ke Davao, melintasi kawasan darurat di Kidapawan serta berdepan dengan individu yang disyaki merupakan penculik sewaktu beliau terkandas di bandar Cotabato seorang diri akibat terputus hubungan dengan IMT.
3. 2014 dan 2015: Ekspedisi solo ke Selatan Thailand termasuk ke Pattani, Yala dan Narathiwat bagi mendokumenkan realiti kehidupan masyarakat Orang Melayu Islam Patani. Kawasan itu telah mengalami beberapa fasa insurgensi dan keganasan, dan walaupun kurang mendapat liputan dan pendedahan dari radar media antarabangsa, kawasan itu merupakan kawasan konflik yang paling ganas di Asia Tenggara. Ekspedisi itu telah membawa beliau menempuh pelbagai episod menggetarkan; termasuk ditahan oleh skuad askar sewaktu berlegar di sebuah perkampungan zon merah di Tak Bai bagi menjejaki mangsa keganasan di Balai Polis Tak Bai, dibawa meredah sebutir bom IED yang dipasang diatas jalanraya sewaktu di Narathiwat, serta berjaya mendapatkan akses dan lingkaran hubungan bersama kumpulan pemisah (insurgent) Patani United Liberation Organization (PULO) dan aktor konflik tempatan yakni Pejuang Pembebasan Patani. Pengembaraan itu juga telah berjaya membawa Fahmi bin Faiz memasuki sebuah kawasan yang mendapat jolokan zon hitam (boriwen si dem) bagi bertemu seorang tokoh masyarakat dan mendapatkan maklumat primer tentang insiden konfrontasi di kawasan itu pada tahun 1948.
Beliau telah menerbitkan beberapa buah karya, dan kini sedang bernaung dengan beberapa penerbit termasuk Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd dan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Telah menghasilkan beberapa buah karya termasuk Bila Kupetik Gitar  yang diterbitkan pada tahun 2013 serta Di Hujung Muncung Mesingan  yang terbit pada tahun 2014.
References:
↑ http://www.alaf21.com.my/penulis/?idWriter=367
↑ http://buku.karangkraf.com/alaf21/details.aspx?idpr=897
↑ http://www.sinarharian.com.my/rencana/redah-ke-sangkar-maut-1.302388
↑ Fahmi Faiz (2013). "Di Hujung Muncung Mesingan", Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd. Malaysia. ISBN 9789831249413.
↑ https://www.law.unimelb.edu.au/files/dmfile/funstonfinalforwebsite2.pdf
↑ http://buku.karangkraf.com/alaf21/details.aspx?idpr=897
↑ http://www.alaf21.com.my/prodDetails.asp?idpr=1074
 
< Prev   Next >